Laman Utama / Pendermaan Organ / Proses Pendermaan Organ

Penderma yang meninggal di hospital


Apabila seseorang itu disahkan mati otak bermakna beliau telah meninggal dunia dan sijil kematian akan dikeluarkan. Pihak keluarga akan dibawa berbincang dan diberi peluang untuk mempertimbangkan mengenai pendermaan organ dan tisu orang itu. Sekira keluarga membenarkan pendermaan, ujian akan dilakukan untuk menentukan organ apa yang masih berfungsi dan boleh digunakan dan sama ada bakal penderma bebas dari penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B serta C dan juga Sifilis. Penderma akan masih diberi sokongan sepenuhnya dan setelah mendapat kebenaran bertulis daripada waris akan di bawa ke dewan bedah di mana mesin pernafasan dan segala sokongan akan diberhentikan sebelum organ itu diambil. Pembedahan pendermaan organ dijalankan seperti pembedahan biasa yang dilakukan ke atas pesakit yang masih hidup dalam keadaan steril dan dengan penuh hormat dan tidak akan menjejaskan rupa tubuh penderma. Apa yang ketara hanyalah kesan luka pembedahan yang dijahit dengan teliti dan sempurna. Mata yang didermakan diganti dengan kapas dan kelopak mata dijahit dengan teliti supaya penderma kelihatan normal. Sekiranya tulang didermakan, hanya tulang panjang sahaja yang akan diambil dan digantikan dengan tulang palsu supaya tidak ada kecacatan. Proses pendermaan boleh mengambil masa dari tiga hingga lapan jam bergantung kepada bilangan organ dan tisu yang diperolehi. Setelah proses perolehan organ selesai, jenazah akan dipulangkan dalam keadaan sebaik mungkin kepada waris di Mortuari hospital dan sekiranya bedah siasat diperlukan untuk kes "medico-legal" ini akan dipercepatkan.

Bagi mereka yang meninggal dunia secara biasa, hanya pendermaan tisu sahaja boleh dilakukan seperti mata, injap jantung, tulang dan kulit. Setelah mendapat kebenaran bertulis dari waris, pembedahan akan dilakukan di mortuari tetapi masih dengan teliti dan dalam keadaan sucihama dan menjaga kehormatan penderma. Tisu boleh bertahan lama tanpa oksigen dan boleh diperolehi sehingga 12 jam selepas kematian bagi mata dan 24 jam selepas kematian bagi injap jantung, kulit dan tulang.

Bagi pendermaan organ dan tisu keluarga akan ditanya tentang sejarah kesihatan dan latar belakang risiko jangkitan penderma untuk menentukan penderma bebas dari penyakit berjangkit seperti di atas dan ujian darah juga akan dilakukan untuk tujuan ini.

Penderma yang meninggal di rumah


Mereka yang meninggal dunia secara biasa di rumah boleh mendermakan mata/ kornea sahaja yang boleh diambil sehingga enam jam selepas kematian. Untuk tujuan ini waris simati boleh berhubung dengan hospital kerajaan terdekat atau pun menelefon talian bebas tol Pusat Sumber Transplan Nasional, 1-800-88-9080 ( tekan 3 ) seperti yang tercatat di bahagian belakang kad pendermaan organ bagi mereka yang telah mendaftarkan diri sebagai penderma untuk disambungkan terus kepada koordinator transplan atas panggilan yang akan menguruskan untuk menghantar pasukan pakar mata pergi ke rumah simati untuk proses perolehan yang akan dilakukan di rumah. Kebenaran secara bertulis juga diperlukan bagi tujuan tersebut dan keluarga akan ditanya tentang sejarah kesihatan dan latar belakang risiko jangkitan. Proses perolehan mata yang mengambil masa kurang dari sejam juga dilakukan dalam keadaan penuh hormat dan prihatin serta tidak akan menjejaskan keadaan jenazah tersebut.