
Perspektif Islam terhadap Pemindahan dan Pendermaan Organ
Pemindahan organ adalah satu kaedah rawatan yang tidak disebut secara spesifik di dalam al-Quran mahupun Sunnah Rasulullah s.a.w. kerana kaedah ini merupakan satu perkembangan baru dalam dunia perubatan. Satu daripada maqassid al-syariah (matlamat syariah) adalah untuk memelihara nyawa. Prinsip-prinsip syariah yang digunakan untuk mengeluarkan fatwa mengenai kaedah pemindahan organ ini termasuklah keperluan mengatasi larangan, memilih jalan yang paling kurang mudarat dan mudarat perlu dirawat dengan berikhtiar. Di Malaysia, fatwa mengenai keharusan pendermaan dan pemindahan organ telah dikeluarkan semenjak bulan Jun 1970 lagi.Dari perspektif Islam, pemindahan organ diharuskan dengan syarat tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit. Di samping itu, kaedah rawatan ini juga diharuskan sekiranya tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada penerima organ atau penderma organ (sekiranya penderma masih hidup). Islam juga mensyaratkan pendermaan organ dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang lain semata-mata kerana Allah s.w.t. dan bukannya bagi tujuan untuk mendapatkan ganjaran, habuan, populariti atau glamor. Organ dan tisu juga tidak boleh diperniagakan kerana Islam melihat jual beli organ dan tisu sebagai suatu perkara yang haram. Pendermaan organ juga perlu mendapat izin dan persetujuan penderma, yakni pendermaan organ tidak boleh dilakukan kerana dipaksa.
Fatwa-fatwa di Malaysia Berkaitan Pendermaan Organ
| 1965 | Fatwa negeri Perlis mengharuskan pemindahan kornea daripada orang yang telah meninggal dunia |
| 1970 | Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan pendermaan organ daripada penderma kadaverik kepada penderma hidup |
| 1989 | Majlis Fatwa Kebangsaan menerima diagnosis mati otak sebagai diagnosis untuk kematian | 1995 | Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan penggunaan graf tisu untuk merawat pesakit |
| 1997 | Fatwa negeri Sarawak mengharuskan pemindahan ginjal daripada penderma hidup dan penderma yang telah meninggal dunia |
Beberapa Fatwa dari Dunia Islam Mengenai Pemindahan Organ
| SUMBER | TAHUN | FATWA |
| Sheikh H. Makhluf (Mufti Besar, Mesir) | 1952 | Pemindahan kornea diharuskan |
| Sheikh H. Maamun (Mufti Besar, Mesir) | 1959 | Pemindahan kornea diharuskan |
| Sheikh Hureidi (Mufti Besar, Mesir) | 1966 | Pemindahan kornea diharuskan |
| Persidangan Pertama OIC | 1969 | Pemindahan kornea diharuskan |
| Majlis Agung Islam Algeria | 1972 | Pemindahan organ diharuskan |
| Sheikh Khater (Mufti Besar, Mesir) | 1973 | Pemindahan kulit dari mayat yang tidak dikenali diharuskan |
| Majlis Agung Fatwa Jordan | 1977 | Pemindahan organ diharuskan |
| Ulama Besar Arab Saudi | 1978 | Pemindahan organ diharuskan |
| Sheikh Gad al-Haq (Mufti Besar, Mesir) | 1979 | Organ boleh diambil dari penderma hidup atau penderma kadaverik |
| Fatwa Kuwait | 1979 | Pemindahan organ diharuskan termasuk dari kadaver |
| Ulama Besar Arab Saudi | 1982 | Pemindahan kornea diharuskan |
| Fatwa Liga Dunia Islam | 1985 | Pemindahan kornea diharuskan |
| Persidangan Ketiga OIC | 1986 | Kematian otak diterima sebagai kematian |
| Persidangan Keempat OIC | 1988 | Pemindahan organ diharuskan tetapi jual beli dan penyeludupan organ diharamkan |




